comscore
Tumpuan :
Tular

Fenomena ‘Garis Badai’ Landa Sabah, Cetus Panik Di Media Sosial

Gambar : orang awam

PETALING JAYA: Fenomena awan yang kelihatan berbentuk garis panjang dikenali ‘garis badai’ dikesan berlaku di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi sehingga menimbulkan panik dalam kalangan pengguna di media sosial.

Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan perkara itu dan menjelaskan ‘garis badai’ itu melanda kawasan pantai barat Sabah dan ia menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir.

“Fenomena cuaca yang berlaku pada awal pagi tadi dikenali sebagai garis badai. Garis badai ialah barisan ribut petir bergerak yang panjangnya boleh mencapai ratusan kilometer dan tempoh hayat selama beberapa jam. Garis badai menghasilkan langkisau dan hujan lebat yang dahsyat serta meluas berbanding ribut petir individu. 

“Garis badai yang mula terbentuk di Laut China Selatan berdekatan perairan Brunei pada awal subuh dan bergerak sepanjang Pantai Barat Sabah. Hujan mula direkodkan di stesen meteorologi Labuan bermula pada 5 pagi dan di stesen meteorologi Kota Kinabalu bermula pada pukul 7 pagi,” katanya kepada Buletin TV3.

Menurut beliau, garis badai ini kebiasaannya berlaku menjelang subuh dan awal pagi.

“Pada hari ini, angin barat daya  berkelajuan antara 20-25 knots bertiup di persisiran pantai barat Sabah. Gabungan antara keadaan atmosfera yang panas dan lembab, bayu darat serta tiupan angin barat daya yang agak kencang menggalakkan pertumbuhan awan kumulonimbus disepanjang pantai di barat Sabah. Keadaan atmosfera dan angin pada hari ini merupakan kondisi yang kondusif bagi pembentukan garis badai,” jelas beliau.

Di media sosial, netizen memaparkan video dan gambar fenomena itu sehingga ramai keliru dan mula panik dengan kejadian yang berlaku.

Loading...
Terkini