comscore
Tumpuan :
Tular

Lelaki Lagak Samseng Di NKVE

TULAR…seorang lelaki berlagak samseng dengan menahan sebuah kenderaan lain berhampiran tol Bukit Raja, Selangor kerana tidak berpuas hati. – FOTO : Tangkap layar video tular

SHAH ALAM : Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila dihalangi seorang lelaki yang berlagak samseng jalan raya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran tol Bukit Raja, Selangor pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, suspek juga bertindak memaki hamun membaling objek yang tidak dikenalpasti ke arah kereta mangsa.

Insiden itu tular menerusi video berdurasi 56 saat di laman Twitter.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pengurus operasi wanita berusia 41 tahun kira-kira pukul 4.20 petang Isnin lalu.

Katanya, semasa kejadian wanita itu dan suaminya dari Taman Melawati ke Shah Alam.

“Siasatan mendapati suspek yang menaiki kereta Honda berwarna putih telah memberhentikan mangsa ketika di laluan tengah jalan raya.

“Tindakan suspek itu didorong rasa tidak puas hati kerana mangsa menukar lorong semasa memandu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, suspek telah turun dari kenderaannya sebelum memarahi serta memaki-hamun terhadap wanita itu dan suami.

Ujarnya, ketika hendak beredar mangsa mendapati suspek membaling objek yang tidak dikenalpasti ke arah keretanya.

“Tiada pergaduhan secara fizikal berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan dan merakam pemilik kenderaan tersebut iaitu seorang wanita dan suspek sedang dilakukan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd. Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-2223361.

Loading...
Terkini