comscore
Tumpuan :
Tular

Mesej Rakaman Palsu Kes Culik 2016 Tular Kembali

ALOR GAJAH: Polis Alor Gajah menafikan terdapat kes penculikan atau cubaan menculik seorang kanak-kanak di daerah ini sebagaimana tular menerusi satu rakaman suara di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, hasil semakan mendapati mesej rakaman suara palsu yang meminta masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan penculikan itu tular sejak 2016 dan kembali diulang siar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Rakaman suara itu mendakwa kanak-kakak terbabit diculik dan dilarikan dengan menggunakan kereta Proton Iswara berwarna putih dan bercermin gelap dari Pengkalan ke Melaka Pindah.

“Mesej itu juga mendakwa pihak berkuasa sedang mengesan kanak-kanak dan kenderaan terbabit serta meminta orang ramai membuat laporan polis jika mengetahuinya.

“Saya sahkan polis Alor Gajah tidak menerima sebarang laporan berkaitan penculikan setakat ini dan mesej itu tidak betul dan dipercayai sudah tersebar sejak lima hingga enam tahun lalu,” katanya dihubungi di sini.

Arshad berkata, mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat tidak sewenangnya menyebarkan berita yang palsu dan perlu merujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan maklumat tepat.

Terdahulu, tular rakaman suara berdurasi 19 saat di aplikasi WhatsApp mendakwa berlaku kes penculikan kanak-kanak di Pengkalan, dekat sini, yang turut disertakan gambar dua kanak-kanak tidak dikenali.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini