comscore
Tumpuan :
Tular

[VIDEO] Padah memandu lawan arus

ISKANDAR PUTERI: Tindakan seorang pemandu lori memandu lawan arus di lebuh raya Linkedua-Tanjung Kupang di sini nyaris meragut nyawa beberapa pengguna jalan raya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, kejadian berlaku sebelum kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Kupang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.31 petang hari ini.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan kekuatan 13 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazly Yahya.

“Kemalangan membabitkan lori lima tan yang dipandu melawan arus sebelum merempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz E250 dan kereta jenis Nissan Almera.

“Pemandu kereta Mercedes Benz E250 mengalami cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang awam.

“Mangsa iaitu seorang lelaki dewasa berusia 44 tahun dibawa dengan ambulans untuk menerima rawatan manakala pemandu lori berusia iaitu lelaki 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati tidak terperangkap,” katanya.

Beliau berkata, manakala pemandu kereta Nissan Almera seorang wanita berusia 46 tahun juga dalam keadaan selamat.

“Operasi tamat pada 5.18 petang hari ini,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pemandu lori berusia 41 tahun yang memandu secara lawan arus di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua didapati di bawah pengaruh alkohol.

“Pemandu lori berkenaan ditahan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati kemalangan di percayai berlaku apabila pemandu lori dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

“Apabila tiba kawasan Rehat dan Rawat(R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP.

“Pemandu lori memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan itu,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Mercedes Benz yang mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan.

“Pemandu lori ditahan dan didapati di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Loading...
Terkini