comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mahu AS jadi peneraju kekang perubahan iklim – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perutusan Khas Presiden AS Mengenai Iklim, John Kerry. – FOTO: Anwar Ibrahim/Facebook

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) salah satu negara maju yang wajar menjadi peneraju dalam mengekang perubahan iklim dan kesan-kesannya ke atas alam sekitar serta kesihatan manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, negara itu perlu menyediakan bantuan kewangan, kapasiti dan sokongan teknologi yang mencukupi untuk membantu negara membangun melaksanakan agenda dan tindakan iklim masing-masing.

Katanya, perkara itu sudah disuarakan beliau ketika menerima panggilan telefon daripada Perutusan Khas Presiden AS Mengenai Iklim, John Kerry, kelmarin.

“Kami bicara pelbagai isu berkaitan alam sekitar, tenaga boleh baharu dan perubahan iklim yang kian meruncing dan memberi kesan yang dahsyat di seluruh dunia.

“Saya berkongsi aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih sifar seawal tahun 2050,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Anwar berkata, beliau turut menyampaikan harapan Malaysia untuk terus bekerjasama dengan AS dalam peralihan tenaga boleh baharu, pengurangan pelepasan gas metana, pembiayaan iklim dan teknologi.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia sudah memberi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentas ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 berbanding tahapnya pada 2005.

Malaysia juga sudah menyatakan aspirasi untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (net-zero GHG emissions) seawal-awalnya pada 2050.

Loading...
Terkini