comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelenggaraan loji air Moyog ditangguh – JANS

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Kerja penyelenggaraan berjadual Loji Rawatan Air (LRA) Moyog di Penampang yang membekalkan air sebanyak 185 juta liter sehari kepada ribuan pengguna di tiga daerah, ditangguhkan.

Ia sepatutnya dilaksanakan pada 18 Mei lalu, kata Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Jurucakap JANS berkata, syarikat konsesi air yang mengendalikan LRA berkenaan, Jetama Sdn Bhd membuat keputusan menangguhkan kerja penyelenggaraan sehingga satu notis baharu dikeluarkan.

“JANS akan maklumkan nanti (tarikh baharu) apabila sudah dikemas kini,” katanya.

Dalam notis sebelum ini, JANS memaklumkan penduduk di kawasan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang akan mengalami kekurangan bekalan berikutan penyusutan pengeluaran air bersih di LRA Moyog sebanyak 18 peratus disebabkan kerja penyelenggaraan berkenaan.

Penyusutan itu menyebabkan hanya 150 MLD air bersih dapat dibekalkan kepada pengguna sepanjang tempoh penyelenggaraan berbanding 185 MLD pada kapasiti penuh.

Difahamkan, penangguhan kerja penyelenggaraan berjadual itu bagi mengelak gangguan bekalan di ketiga-tiga daerah, lebih-lebih lagi ia membabitkan kawasan pusat bandar raya dan lokasi penting termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Bekalan air di KKIA sebelum ini terputus berikutan kerja penyelenggaraan berjadual tangki air oleh pihak JANS hingga memaksa pengurusan lapangan terbang menutup sebahagian kemudahan tandas dan meminta pesawat mengisi bekalan air dari lapangan terbang asal sebelum berlepas ke KKIA.

Sementara itu, jurucakap Jans berkata, gangguan bekalan air yang dialami pengguna di sekitar daerah Putatan, pada Khamis dan Jumaat lalu, berpunca daripada kerja kecemasan pembaikan paip bocor.

Katanya, kerja pembaikan dilaksanakan bermula 17 Mei lalu menyebabkan bekalan air kepada penduduk terjejas sebelum dipulihkan semula bermula Jumaat lalu.

Akibat kerja kecemasan itu, beberapa kawasan perumahan di Putatan berdepan ketiadaan air selama dua hari.

Loading...
Terkini