comscore
Tumpuan :
Dunia

Strok haba: Kerajaan Thailand nasihatkan kumpulan berisiko tinggi supaya tidak keluar rumah

Cuaca panas terik dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius dicatatkan di Bangkok sejak Rabu lalu. FOTO: Reuters

BANGKOK: Kanak-kanak, pesakit dan golongan tua diingatkan supaya mengelak daripada terlibat dalam aktiviti di luar bangunan selepas strok haba meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand.

Seorang doktor dan jurucakap bagi Jabatan Kawalan Penyakit daripada Kementerian Kesihatan Awam, Dr Veerawat Manosutthi dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata ada 30 laporan kematian akibat strok haba dicatatkan dari Mac hingga April tahun ini berbanding dengan 37 kematian dari Mac hingga Jun tahun lepas.

“Angka kematian tahun ini melibatkan kumpulan berisiko tinggi daripada golongan tua dan kanak-kanak yang lebih muda serta bayi,” katanya.

Dr Veerawat menasihatkan aktiviti seharusnya dihadkan dan elakkan aktiviti di luar bangunan dari 11 pagi hingga 3 petang dan jika seseorang mesti keluar rumah, penting untuk dia minum air dengan kerap sekurang-kurangnya dua gelas setiap jam.

“Elakkan daripada keadaan cuaca panas, pakai pakaian warna cerah yang membenarkan kitaran udara yang baik. Selain itu berwaspada terhadap gejala seperti pening kepala, sakit kepala, loya, bernafas dengan kerap, menggigil, merah di muka dan kurang berpeluh, kerana ini menunjukkan strok haba,” katanya.

Beliau berkata  pertolongan kecemasan asas perlu diberikan termasuk beralih ke tempat yang lebih sejuk, meletakkan air sejuk atau pek ais di dahi, leher dan ketiak dan longgarkan pakaian.

Media Thailand melaporkan suhu di ibu negara, Bangkok mencecah lebih 40 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini