comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis buru 3 lelaki simbah cat merah di restoran nasi kandar

Tangkap layar memaparkan tiga lelaki tidak dikenali membaling objek mengandungi cat merah di hadapan bangunan sebuah restoran nasi kandar yang ketika itu masih belum beroperasi di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam. Foto tangkap layar media sosial.

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang dipercayai bertindak membaling beberapa objek mengandungi cat merah ke arah sebuah restoran nasi kandar yang belum beroperasi di Taman Machang Bubok, di sini, hingga perbuatan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata pihaknya menyedari hantaran tular itu sekitar jam 9.30 pagi semalam yang memaparkan kejadian khianat dilakukan beberapa individu tidak dikenali.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lokasi kejadian adalah premis kedai dua tingkat yang mana restoran itu dikatakan akan memulakan perniagannya hari ini.

“Hasil semakan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian telah berlaku pada Khamis (kelmarin) jam 3.03 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suspek datang dengan menunggang dua buah motosikal.

Motif kejadian masih disiasat.

Helmi berkata pihaknya memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit memaparkan tiga lelaki yang menunggang dua motosikal berhenti di hadapan sebuah restoran nasi kandar yang masih belum dibuka kepada orang ramai.

Ketiga-tiga lelaki yang memakai topi keledar itu kemudian didapati membaling beberapa objek mengandungi cat merah hingga terkena papan tanda dan pintu hadapan restoran berkenaan sebelum melarikan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini