comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis sahkan isu peribadi dengan isteri kekal motif utama suspek kes tembakan KLIA

Hafizul Hawari dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk perintah tahanan reman. – Foto NSTP

KOTA BHARU: Polis mengesahkan motif utama lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya masih sama iaitu berkaitan perihal peribadi di antara suspek dan isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang unsur lain yang mendorong suspek, Hafizul Hawari, 38, melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, kelmarin.

Katanya, soal siasat juga mendapati suspek seorang yang normal.

Beliau berkata, suspek menggunakan pistol jenis Glock 19 Austria dan dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran.

Bagaimanapun katanya, siasatan sedang dilakukan berhubung kaedah senjata api itu dibawa masuk ke negara.

Sementara itu, menurut Mohd Shuhaily, suspek sempat ke hospital swasta untuk mengambil laporan perubatan sebelum ditahan.

Bagaimanapun beliau berkata, suspek ditahan sebaik keluar daripada Hospital Pakar Perdana, di sini, jam 3 petang.

“Apa tujuan laporan perubatan sama ada mahu memohon visa atau sebaliknya, kita masih menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital swasta berkenaan sebelum kejadian tembakan dan suspek hadir semalam untuk mengambil laporan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, suspek juga bergerak secara individu selepas kejadian tanpa dibantu mana-mana pihak.

Beliau berkata, suspek terus bergerak ke Kelantan selepas kejadian tembakan tanpa berjumpa dengan sesiapa.

“Dia (suspek) hanya bergerak secara individu dan suspek juga sudah biasa dengan Kelantan memandangkan pernah belajar di sebuah tahfiz di Pasir Mas sebelum ini.

“Selepas kejadian kita dapati pergerakan suspek terus ke Kelantan tanpa dibantu sesiapa,” katanya.

Dalam kejadian 1.20 pagi kelmarin, dua das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan yang terletak di aras tiga KLIA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini