comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek kes tembakan di KLIA ditahan reman 7 hari

 

KOTA BHARU: Hafizul Hawari, 38, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi kelmarin ditahan reman tujuh hari.

Tahanan reman ke atas Hafizul dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid.

Suspek yang ditahan di Jalan Bayam, Kota Bharu semalam selepas melarikan diri, tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi.

Suspek memakai baju lokap tiba dengan menaiki kereta polis diiringi empat pegawai termasuk anggota polis.

Suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi Sabtu lalu, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada sidang media dilaporkan berkata suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya.

Katanya, satu das tembakan tersasar, namun satu lagi das tembakan terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun terkena tembakan pada bahagian perut. Sehingga kini, mangsa yang dirawat di Hospital Cyberjaya belum sedarkan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini