comscore
Tumpuan :
Nasional

Dera bayi hingga maut: Ibu mangsa diberi bantuan kaunseling

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: Ibu kepada bayi enam bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat didera telah dikunjungi oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kes terbabit akan ditangani sebaiknya oleh pegawai terbabit.

“Pegawai kami termasuk kaunselor telah bertindak dengan memberi kaunseling.

“Kaunselor itu mempunyai kepakaran untuk menangani kes-kes tertentu.

“Jadi memang sudah ada pun pegawai kita bertindak,” katanya selepas merasmikan Seminar KASIH Semurni Usaha KPWKM @Antigangguan Seksual anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Datuk Seri Nancy turut menasihati masyarakat untuk peka terhadap sebarang kes penderaan yang berlaku di sekitar kawasan mereka serta bertindak pantas membuat laporan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melaksanakan pelbagai program dalam mempromosi peranan kementerian itu dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Melalui advokasi yang dilaksanakan, kita memberi penerangan kepada masyarakat mengenai fungsi talian 15999.

“Masyarakat juga perlu ada keberanian untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan identiti pelapor tidak akan didedahkan.

“Tindakan akan diambil melalui laporan yang diberikan,” jelasnya.

Semalam, ibu bayi enam bulan yang meninggal dunia itu mendedahkan mangsa sering didera oleh bapanya.

Jiran mangsa turut mendedahkan sering terdengar tangisan bayi malang itu hampir setiap hari.

Susulan insiden, polis menahan bapa bayi berkenaan dan lelaki berusia 25 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi esok atas kesalahan membunuh anak kandung yang berumur 6 bulan.

Pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini