comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar PhD USIM di Gaza tekad teruskan pengajian

Abdallah Abuajwa ketika mengambil Ujian Kelayakan di utara Gaza, Palestin bagi pengajian peringkat PhD di USIM. Foto ihsan USIM.

NILAI: Seorang pelajar Palestin berjaya lulus dalam Ujian Kelayakan (QT) yang dijalankan secara dalam talian walaupun dalam keadaan kampung halamannya di Gaza musnah dibom rejim zionis.

Abdallah Abuajwa, 30, pelajar program Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) nekad menjalani ujian berkenaan walaupun berdepan dengan risiko dibom.

Dalam satu rakaman video pada akhir sesi ujian terbabit semalam, Abdallah yang berada di utara Gaza dilihat sedang berada di bawah sebuah khemah di kawasan terbuka dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah dibedil tentera zionis.

Pada akhir sesi ujian itu, beliau melahirkan rasa terima kasih kepada USIM khususnya jawatankuasa penyeliaan diketuai oleh Dr. Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.

“Saya akan meneruskan pengajian saya sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya.”

“Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan saya akan terus berdoa agar Allah SWT memberikan saya ilmu yang bermanfaat untuk agama dan negara Palestin”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abdallah, walaupun infrastuktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Gaza musnah akibat serangan tentera Zionis itu, beliau masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi QT.

“Saya menggunakan sel solar agar peralatan elektronik boleh terus berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ali Nasser berkata pihaknya kagum dengan kecekalan pelajar seliannya itu.

“Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan, kesihatan yang dialami oleh anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu Cerebral Atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza.”

“Walaupun ia menganggu dan melambatkan pengajian PhD beliau, Abdallah tetap ingin meneruskan pengajiannya,” katanya.

Menurutnya, Abdallah kini berada di semester ke tujuh dan dengan kejayaan beliau lulus QT, beliau boleh meneruskan pengajian dan menamatkan PhD.

Beliau berkata isteri Abdallah dan tiga orang anaknya kini berada di selatan Gaza manakala Abdallah yang terpisah bersama seorang anaknya berada di utara Gaza.

“Kediaman dan kenderaan beliau di utara Gaza musnah manakala ramai saudara-maranya terkorban sejak serangan rejim Israel pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini