comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan maut, rakan parah motosikal langgar tembok

Foto ihsan pembaca

KULIM: Seorang remaja perempuan maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai terbabas dan terlanggar tembok sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Nurin Balqis Mohamad Zakri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, remaja perempuan terbabit menunggang motosikal jenis Honda Vario.

Beliau berkata, motosikal dinaiki mereka dipercayai dari arah Jalan Serai Wangi 5 ke Jalan Serai Wangi 10 di sini.

“Sejurus tiba di lokasi, motosikal ditunggangi Nurin Balqis dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tembok longkang, sebelum merempuh dinding pasar raya berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azizul berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Rakan mangsa, Nurul Natasha Mohd Shukri, 18, yang mengalami kecederaan di kepala, bahu dan kaki kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kulim.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini