comscore
Tumpuan :
Nasional

SKM sasar 189 masjid di Melaka tubuh koperasi kariah masjid

Koperasi Pengkalan Batu Berhad (Kopaba) di bawah Masjid Nur Sa’adah Pengkalan Batu, Melaka dilaporkan meraih pendapatan puluhan ribu ringgit menerusi aktiviti perniagaan.-Foto: Masjid Nur Sa’adah Pengkalan Batu/ Facebook

MELAKA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka menyasarkan kesemua 189 masjid di negeri ini menubuhkan koperasi kariah masjid bagi memperkasa pembangunan ekonomi komuniti masjid.

Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata setakat ini 66 masjid telah menubuhkan koperasi kariah dan bernaung di bawah Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (Kogmas).

Bagaimanapun jelasnya, hanya 44 daripada koperasi kariah terbabit berstatus aktif.

“SKM menyediakan banyak bantuan, latihan serta pinjaman bagi memperkasa penubuhan koperasi kariah masjid di Melaka dan kita juga mendapat sokongan kerajaan negeri dalam setiap program yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2024 yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Menurut Mustafa Kamal, Kogmas akan diberikan tanggungjawab membantu koperasi kariah masjid yang tidak aktif dengan menawarkan peluang perniagaan di bawah program MyBaraqah Hab.

“Di bawah program MyBaraqah Hab, terdapat pelbagai produk seperti air mineral dan sabun jenama Barakah yang dikeluarkan Kogmas dan produk berkenaan boleh dijual oleh koperasi yang tidak aktif sebagai aktiviti perniagaan,” katanya.

Semakan di laman web Kogmas mendapati terdapat 25 bidang perniagaan yang disarankan boleh diceburi oleh koperasi kariah masjid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini