comscore
Tumpuan :
Politik

PRK KKB: Kehadiran Presiden suntik semangat pimpinan UMNO, jentera PRK

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (duduk empat kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim (duduk tiga kanan) selepas Perjumpaan Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Selangor, Ketua Cawangan dan Ketua Pusat Daerah Mengundi (KPDM) di Kuala Kubu Bharu hari ini. FOTO: NSTP

KUALA KUBU BHARU: Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perjumpaan Khas Bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Ketua Cawangan dan Ketua Pusat Daerah Mengundi (KPDM) memberi suntikan semangat kepada pimpinan UMNO menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim berkata pimpinan UMNO bahagian dan sayap termasuk ketua cawangan serta KPDM merupakan tunjang dan kekuatan parti di peringkat bahagian dan PRK berkenaan.

Katanya, untuk masuk ke ‘medan peperangan” semua pimpinan UMNO perlu menerima amanat atau maklumat yang jelas daripada pucuk pimpinan parti supaya kempen PRK di DUN berkenaan berjalan lancar.

“Kehadiran Presiden UMNO dalam perjumpaan khas memberi mesej dan isyarat yang cukup jelas kepada pimpinan UMNO agar bekerja keras meraih sokongan dan undi daripada pengundi supaya PRK akan memihak kepada calon Kerajaan Perpaduan.”

“Amanat yang disampaikan oleh Presiden UMNO seharusnya dijadikan azimat dan motivasi kepada pimpinan dan jentera PRK bagi menjamin kelangsungan dan masa depan UMNO,” katanya ditemui selepas Perjumpaan Khas UMNO Bahagian Hulu Selangor dan Ketua Cawangan serta KPDM bersama Presiden UMNO di Bilik Seminar UMNO Bahagian Hulu Selangor, dekat sini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perjumpaan Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Ketua Cawangan dan Ketua Pusat Daerah Mengundi (KPDM) di Kuala Kubu Bharu hari ini. FOTO: NSTP

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) tiba di khemah penyokong Kerajaan Perpaduan kira-kira jam 8 pagi bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Kehadiran pucuk pimpinan UMNO adalah sebagai sokongan kepada calon DAP daripada Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili Pakatan Harapan daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Kee Hiong menang dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini manakala hari pengundian awal pada 7 Mei.

Mohd Isa yang juga Pengerusi BN Hulu Selangor berkata beliau akan mengerakkan seluruh jentera PRK BN untuk memastikan pengundi yang memihak kepada calon Kerajaan Perpaduan keluar mengundi pada hari berkenaan.

Katanya, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan amatlah penting kepada BN bagi mengukuhkan kedudukan BN dalam kerajaan negeri dan pusat.

“Semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan mestilah diterjemahkan dengan memastikan calon Kerajaan Perpaduan menang dalam PRK terbabit.”

“Oleh itu, jentera BN khususnya UMNO perlu berkerja keras dan berjuang habis-habisan apatah lagi pada 11 Mei berkenaan juga merupakan Hari Ulang Tahun UMNO ke-78,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini