comscore
Tumpuan :
Bencana

Air Pasang Besar Diramal Landa Kuala Kedah, Kuala Muda Minggu Depan

ALOR SETAR: Air pasang besar dijangka melanda dua daerah di negeri ini sekali lagi selama dua hari pada 11 hingga 12 Oktober ini.

Fenomena pada jam 1.25 pagi 11 Oktober dan 1.52 pagi pada 12 Oktober itu diramal melibatkan daerah Kuala Kedah dan Kuala Muda.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob, berkata paras air laut dijangka mencecah 2.9 meter pada dua hari berkenaan.

“Minggu lalu ada kejadian air pasang besar di kawasan sama di dua daerah itu, di mana paras air laut naik mencecah 2.9 meter, tetapi tidak menjejaskan rumah penduduk.

“Namun APM sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya ketika air pasang nanti disertai hujan lebat nanti menyebabkan pertembungan air laut dengan sungai yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah di situ.

“Orang ramai terutama nelayan dinasihatkan berhati-hati ketika ke laut pada waktu itu, manakala penduduk di pesisir pantai atau berisiko rendah juga perlu bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air laut naik mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Taklimat Peranan dan Tugasan Pasukan Tindak Balas Pertahanan Awam (CDERT) Kedah dalam pengurusan bencana di APM Kota Setar, hari ini.

Dalam program itu, seramai 20 daripada 34 peserta CDERT yang aktif di negeri ini hadir untuk persediaan menghadapi peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka November ini hingga Mac tahun depan.

Awang Askandar berkata, khidmat pasukan CDERT diperlukan untuk membantu tugas APM, selain memantau keadaan banjir dan air pasang seperti berlaku di Kuala Kedah, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta pasukan CDERT melalui penyelerasan di daerah masing-masing untuk mengenal pasti kawasan komuniti yang perlu dibantu ketika menghadapi Monsun Timur Laut di negeri ini.

“Sebagai contoh, pasukan CDERT An-Najah banyak membantu dalam menjalankan tugas APM, termasuk melakukan pemantauan air pasang besar di Kuala Kedah baru-baru ini serta menyalurkan sumbangan di Kampung Iboi, Baling akibat kejadian kepala air,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini