comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Adakah pengeluaran KWSP masih relevan pada 2023?

 

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Pengeluaran dana persaraan ketika saat getir adalah strategi diguna pakai pelbagai negara seperti pandemik COVID-19.

Di Malaysia, sejumlah RM145 bilion telah dikeluarkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) antara tahun 2021 dan 2022.

Selepas pengeluaran empat kali berturut-turut, kaedah ini dianggap lumrah sehingga menjadi satu isu politik.

Memasuki 2023, ekonomi negara terus mencatat momentum positif. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjur Malaysia menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4% hingga 5%, selepas merekodkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7%.

Kadar pengangguran juga menurun kepada 3.5% pada Februari 2023 berbanding 4.1% tahun sebelumnya, berdasarkan OpenDOSM.

Jelas, keadaan sekarang jauh berbeza berbanding pandemik dan rakyat mampu meneruskan kelangsungan hidup tanpa perlu menyentuh simpanan hari tua mereka.

“Kalau kita ambil, makin ambil, tapi tak bergerak untuk menyumbang balik kepada simpanan yang ada, akhirnya tidak akan ada apa-apa yang tinggal,” kata Pengarah Eksekutif, Bill Morrisons Wealth Management Sdn Bhd, Idi Irwan Zainal Abidin kepada BuletinTV3.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan, terdapat pelbagai alternatif daripada agensi kerajaan dan pihak swasta untuk membantu rakyat. Malangnya, tidak ramai yang sedar atau memanfaatkan insiatif yang sedia ada.

“Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai mandat untuk menstruktur semula sebarang pinjaman dengan bank. Masalahnya tidak ramai yang tahu fungsi AKPK tetapi agensi itu telah cuba mempromosikan perkhidmatannya. Saya berharap kepada semua rakyat Malaysia, saya sarankan untuk memberi kepercayaan kepada agensi kerajaan atau badan berautoriti yang tersedia,” tambah beliau.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata orang ramai dinasihatkan tidak terlalu bergantung kepada instrumen pengeluaran KWSP sebagai cara menghadapi masalah.

“Sedangkan ada dasar kerajaan yang boleh diguna pakai yang memanfaatkan rakyat tersebut contoh bayaran tunai, geran atau skim pinjaman mudah bagi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) dan sebagainya. Pihak bank sendiri pun ada menawarkan pelbagai bantuan. Contoh kalau kita lihat pihak Bank Muamalat sendiri pun telah menawarkan moratorium kepada mereka yang terkesan akibat banjir baru-baru ini,” katanya kepadaBuletinTV3.

Pencarum juga diingatkan tentang kesan pengganda dalam pelaburan KWSP.

“Kalau wang itu kita simpan dan kita tidak keluarkan, duit itu akan bertambah, principal campur pulangan, tahun depan principal dah campur pulangan, campur lagi pulangan tersebut. Kalau dapat dikekalkan, seharusya dapat mempercepatkan kita untuk mencapai satu bentuk tabungan yang sihat pada ketika mencapai umur persaraan,” jelas Afzanizam.

Pengeluaran khas KWSP bukan sahaja memberi kesan kepada pencarum, malah institusi itu sendiri. Pengeluaran dana yang besar akan mengganggu program pelaburan KWSP dan juga pulangan atau keuntungan yang boleh diagihkan kepada ahlinya.

Loading...
Terkini