comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia tambah lebih lima juta tempat duduk dari China, India

SEPANG: AirAsia meningkatkan kapasiti untuk perkhidmatan antara China-Malaysia and India-Malaysia sebanyak 230 penerbangan mingguan bermula pada suku pertama 2024 seterusnya menyediakan sehingga 5.2 juta tempat duduk setahun.

Peningkatan ketara kapasiti melalui penerbangan AirAsia Malaysia (kod syarikat penerbangan AK) dan AirAsia X Malaysia (kod syarikat penerbangan D7) ini adalah sokongan kepada jangkaan lonjakan permintaan perjalanan berikutan pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember 2023.

Pengumuman itu juga bertepatan dengan pengumuman pelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat Malaysia ke China baru-baru ini, mulai 1 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata ini adalah berita yang dinanti-nantikan bukan sahaja untuk AirAsia tetapi untuk rakyat di seluruh negara.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk inisiatif yang memfokuskan kepada rancangan masa hadapan negara.

“Kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India pasti akan memberi rangsangan yang dialu-alukan untuk sektor pelancongan dan ekonomi di Malaysia menjelang musim kemuncak perjalanan akan datang sambil meningkatkan hubungan ekonomi antara negara-negara besar ini.

“Sebagai antara pemain utama dalam sektor penerbangan, kami bersedia untuk menambah kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan udara yang berpatutan untuk semua di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam menambah: “Kami melihat pengumuman ini bukan sahaja sebagai peluang untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam dua pasaran terbesar kami, malah sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara.

“Dengan anggaran 4.6 juta tetamu dijangka melakukan perjalanan melalui rangkaian luas kami yang terdiri daripada 26 laluan di China dan India pada tahun 2024 sahaja, kami bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kemasukan pelancong di Malaysia iaitu sebanyak 25 juta pelancong antarabangsa pada setiap tahun.’

Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar di China, AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia terbang ke 17 laluan ke negara ini dengan jumlah 156 penerbangan mingguan.

AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia terbang dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Quanzhou, Kunming, Guilin), Nanning, Shantou, Shenzhen, Chengdu, Beijing, Hangzhou dan Shanghai.

AirAsia Malaysia juga terbang dari Kota Kinabalu ke Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen, Beijing dan Wuhan, serta dari Johor Bahru ke Guangzhou.

Loading...
Terkini