comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Capital A cadang serapkan operasi penerbangan ke dalam AirAsia X

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelan regularisasi Nota Amalan 17 (PN17) Capital A Bhd sedang berjalan secara berperingkat yang mana akan membabitkan proses pelupusan semua cabang operasi penerbangannya kepada AirAsia X.

Penganalisis AmInvestment Bank, Lucas Tan Jun Sian, berkata pelupusan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yang akan membabitkan pelupusan cabang penerbangannya AirAsia Aviation Group kepada syarikat seinduknya, AirAsia X (AAX).

Katanya, ini bermakna empat syarikat penerbangan di bawah Capital A (iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan AirAsia Indonesia) akan diserap ke dalam AAX untuk menjadi kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah yang disatukan, yang akan kekal disenaraikan di Bursa Malaysia di bawah AAX.

“Capital A kemudiannya akan menerima saham AAX sebagai hasil pelupusan melalui pengaturan pertukaran saham dan mengagihkan kembali saham berkenaan kepada pemegang sahamnya.

“Sementara itu, Capital A juga akan mengekalkan bahagian bukan penerbangannya termasuk Kejuruteraan Digital Asia, Teleport, airasia SuperApp dan Big Pay,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Lucas berkata, bagi memudahkan pelan itu, kumpulan itu memohon lanjutan enam bulan sehingga 7 Julai 2023 daripada Bursa Malaysia untuk penyerahan pelan regularisasi berkenaan.

“Pihak pengurusan menjangkakan pelan regularisasi semula itu akan diluluskan oleh Bursa Malaysia menjelang Februari tahun depan, dengan sasaran akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai 2023.

“Kami juga menyedari mengenai perkembangan korporat yang akan berlaku selepas status PN17 ditarik yang akan menyaksikan pemecahan bahagian perkhidmatan penerbangan Capital A ke pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) atau Singapura, diikuti dengan aset digital selepas itu.

“Kami positif terhadap pelan penstrukturan ini kerana ia bukan sahaja akan menyelesaikan status PN17, tetapi juga membuka nilai intrinsik aset bukan penerbangannya,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, ini juga bermakna syarikat itu tidak akan mendapat manfaat daripada lonjakan semula dalam permintaan perjalanan udara selepas melepaskan operasi penerbangan. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini