comscore
Tumpuan :
Nasional

PATI Indonesia paling tinggi mohon pulang, sambut Aidilfitri 

SEREMBAN: Bermula 1 Mac lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menerima sebanyak 787 permohonan pulang ke negara asal tanpa pendakwaan menerusi Program Repatriasi Migran (PRM).

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, sebahagian permohonan itu dibuat warga Indonesia berbanding pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara lain.

“Warga Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 443 permohonan termasuk 19 daripadanya adalah kanak-kanak.

“Diikuti Bangladesh (118), India (74), Pakistan (45), Myanmar (42), Nepal (30), Sri Lanka (22), Nigeria dan Filipina (3), Tanzania (2) dan masing-masing satu permohonan daripada warga China, Thailand, Vietnam, Yaman, Libya serta Lubnan.

“Permohonan ini dibuat mereka yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas sah serta tinggal lebih masa,” katanya pada sidang media, di sini, petang semalam.

Menurutnya, pihaknya percaya warga Indonesia merekodkan permohonan paling tinggi kerana mahu mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

“Hasil temu bual juga mendapati mereka bukan tinggal di Negeri Sembilan, sebaliknya datang berurusan di sini kerana pejabat Imigresen di tempat mereka penuh.

“Saya berharap lebih ramai PATI yang mengambil kesempatan ini untuk pulang ke negara asal mereka bagi mengelak dikenakan pendakwaan sekiranya ditangkap,” katanya.

Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pula, katanya, setakat ini hanya 65 peratus majikan tampil melakukan proses verifikasi terhadap pekerja asing mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini