comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bumiputera kurang sertai kerjaya arkitek, peguam dan akauntan

PUTRAJAYA: Golongan Bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50 peratus bagi profesional arkitek (41.2 peratus), peguam (38.2 peratus) dan akauntan (31.8 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penyertaan dalam profesional terpilih menunjukkan Bumiputera menyumbang 92.7 peratus dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022.

“Sementara itu, Bumiputera menyumbang 60.8 peratus juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman,” katanya dalam kenyataan Statistik Bumiputera 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Penerbitan ini memaparkan statistik Bumiputera terpilih dalam dalam bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.

Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah.

Penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah Bumiputera.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi Bumiputera meningkat kepada 67.1 peratus berbanding tahun 2021 (65.8 peratus).

Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh Bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3 peratus.

Loading...
Terkini