comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes mahkamah Datuk Seri Zahid Hamidi bermotifkan politik – Peguam

 

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah berasas.

Peguam beliau, Datuk Ahmad Zaidi Zainal menerusi kenyataan media berkata, ini kerana kes berkenaan merupakan suatu kes bermotif pendakwaan politik.

“Dalam keterangan bersumpah anakguam kami di dalam mahkamah bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu telah memanggil anakguam kami dan memberikan arahan dalam nada yang tegas kepada anakguam kami untuk membubarkan UMNO atau untuk menerima sebarang akibat sekiranya arahan beliau tidak dipatuhi”.

Foto: NSTP

Akibat enggan tunduk kepada ugutan semasa perjumpaan pada Jun 2018 itu, Datuk Seri Zahid kemudian telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM pada 2 Julai untuk tujuan siasatan dan tindakan mahkamah sebelum dituduh pada 19 Oktober tahun sama.

Sejumlah lapan surat representasi juga telah dikemukakan pihak kami kepada Jabatan Peguam Negara iaitu daripada tarikh Presiden UMNO itu dituduh sehingga 25 Januari tahun ini untuk memohon Jabatan Peguam mengkaji semula pertuduhan tersebut dengan tujuan untuk menarik semula pertuduhan berkenaan atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan tersebut.

Satu salinan surat daripada SPRM kepada Jabatan Peguam juga telah diterima pada 20 Februari 2023 yang menyatakan perkara berikut:

“SPRM berpendapat bahawa penting untuk siasatan lanjut dibuat agar kes pendakwaan lebih kukuh dan SPRM sudah pun mula mendapatkan petunjuk-petunjuk dan bukti-bukti baharu. Siasatan yang lebih menyeluruh adalah amat penting agar pasukan penyiasat dan pihak pendakwaan tidak dikecam oleh orang awam dan dituduh melakukan pendakwaan terpilih terutamanya selepas kes baru-baru ini terhadap Tan Sri Shahrir Samad di mana pegawai penyiasat  telah mengaku di Mahkamah semasa disoal balas sewaktu perbicaraan bahawa pertuduhan telah dikemukakan sebelum siasatan lengkap sebagaimana yang berlaku dalam Tindakan Mahkamah tersebut”.

Siasatan yang tidak lengkap juga akan menyebabkan reputasi SPRM selaku pasukan penyiasat dan Jabatan Peguam Negara selaku pasukan pendakwaan tercemar di mata masyarakat.

“Demi menjaga nama baik dan reputasi kedua-dua agensi penguatkuasa undang-undang negara ini, wujud keperluan untuk proses merekodkan beberapa keterangan daripada saksi-saksi dan mengumpulkan lagi bukti-bukti bagi mengesahkan petunjuk-petunjuk diperolehi SPRM perolehi sebelum ini dilakukan”.

SPRM juga memberikan jaminan kepada Peguam Negara bahawa siasatan lanjut ini akan dijalankan secara menyeluruh, tanpa rasa takut dan pilih kasih serta lebih objektif dan sehingga ke akar umbi akan dijalankan.

Berikutan daripada keputusan Peguam Negara hari ini, pihaknya juga percaya keputusan itu berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

Pihaknya bagaimanapun menegaskan,  Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Malahan, ini juga bukan kali pertama mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan bagi menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di Mahkamah.

“Tambahan pula, proses representasi ini juga bukanlah suatu perkara baru kerana ianya telah pun menjadi amalan sebelum ini tidak kiralah di pelbagai peringkat perbicaraan dari Mahkamah Majistret sehingga ke Mahkamah Persekutuan termasuklah kes-kes yang melibatkan hukuman mati mandatori”.

Kenyataan itu juga menyebut, beberapa fakta penting perlu di ketahui umum antara lain termasuk ucapan pembukaan pihak pendakwaan pada awal kes yang menyatakan tidak ada satu sen pun dana Yayasan Akal Budi di gunakan untuk tujuan kebajikan dan pihak pembelaan telah membuktikanya melalui saksi-saksi pendakwaan sendiri bahawa kenyataan ini tidak benar dan menunjukkan bukti bahawa sumbangan dan projek yang di kendalikan oleh Yayasan Akal Budi melebihi daripada RM100 juta, untuk tujuan kebajikan dan amal jariah termasuk membina masjid di seluruh dunia, maahad tahfiz serta rumah anak yatim dan cetakan Al Quran.

“Selain itu, Saksi pendakwaan sendiri termasuk bekas pembantu anakguam kami dan juga pakar dari Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa majoriti cek-cek yang di gunakan untuk membayar kad kredit bagi kes ini tidak di tandatangani oleh anakguam kami sendiri dan pembantunya telah menggunakan cop-cop tandatangan di atas cek-cek tersebut”.

Artikel berkaitan: Zahid lepas tanpa bebas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah Yayasan Akalbudi

Loading...
Terkini