comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Deman EV: Bila akan melanda Malaysia?

Foto: NSTP

Oleh Faiz Aizat Azali

RAWANG: Kegilaan dan demam kereta elektrik (EV) yang sudah mula mendominasi pasaran Amerika Syarikat, China dan Eropah dijangka tidak akan berlaku di Malaysia dalam masa terdekat ini.

Beberapa syarikat automotif termasuk peneraju pasaran PERODUA selain PROTON dan Honda Malaysia sudahpun memberi indikasi mengenai masa depan EV di Malaysia.

Honda Malaysia misalnya berkata penekanan kepada model EV dijangka hanya berlaku menjelang 2030. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasinya, Sarly Adli Sarkum strategi berkaitan EV juga bergantung kepada polisi yang dilaksana kerajaan di masa hadapan. Ini mungkin membabitkan insentif dan ekosistem selain infrastruktur yang bersesuaian.

“Di Honda Malaysia, kami sasar penerimaan EV tidak berlaku sekelip mata, ia akan mengambil masa, kami jangka ini hanya akan berlaku sekitar tahun 2030, fasa ketika ini adalah untuk memberi penekanan kepada model hibrid kami”, kata Sarly Adli pada pelancaran model Civic e:HEV RS yang berlangsung pagi tadi.

Terdahulu, PROTON turut dilaporkan merancang mengeluarkan EV pemasangan tempatan CKD pertama dalam tempoh lima tahun akan datang. Perkara ini disahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah. Beliau turut menjelaskan pelan EV PROTON sudah bermula 10 tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan pasaran ketika itu.

PERODUA pula berkata pembangunan EV-nya kelak akan memberi fokus kepada model EV penuh, bukan hibrid “plug in”. Bagaimanapun syarikat automotif nasional itu menjelaskan perancangan EV oleh PERODUA tidak akan berlaku dalam masa terdepan kerana ia memerlukan kajian pasaran yang terperinci selain berdasarkan kehendak pasaran.

Beberapa pengeluar jenama EV China turut dilaporkan berminat dengan pasaran tempatan dengan kerajaan mencadangkan dibawah Bajet 2023 agar pengecualian duti import dan eksais EV dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024 bagi kenderaan EV import sepenuhnya.

Antara akujanji dibawah manifesto Barisan Nasional juga adalah untuk menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis EV bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

Loading...
Terkini