comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PROTON bakal lancar SUV baharu tidak lama lagi

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kanan) bersama Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar (Dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Abdullah (kanan) menandatangani panel pintu model Proton di Kilang Stamping D-Line PROTON di Tanjung Malim

TANJUNG MALIM: Selepas timbul pelbagai desas-desus mengenai pengenalan model terkini sejak hampir dua tahun lalu, Proton Holdings Bhd (PROTON) akhirnya akan melancarkan secara rasmi kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya tidak lama lagi.

Meskipun nama rasmi belum didedahkan lagi, model yang berkemungkinan besar dikenali sebagai Proton X90 sudah dihasilkan di kilang pengeluaran PROTON di sini, selepas dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata pengeluaran SUV ketiga Proton selepas X70 dan X50 sepatutnya diperkenalkan tahun lalu, tetapi tertangguh disebabkan cabaran COVID-19 dan isu rantaian bekalan yang dihadapi sektor automotif.

“SUV canggih ini akan dilancarkan tidak lama lagi. Bagi menunjukkan komitmen PROTON terhadap peralihan kenderaan elektrik (EV) secara beransur-ansur, model baharu ini juga akan tampil dengan varian ‘mild’ hibrid.

“Ia adalah model SUV ketiga Proton dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rangkaian ‘stamping’ D-Line baharu PROTON dan upacara ‘line-off’ SUV baharu Proton di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Saarani. Turut serta, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

SUV baharu itu yang dipasang di Tanjung Malim bersama Proton X50 dan Proton X70 akan dilancarkan secara rasmi dalam beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Roslan berkata, model baharu itu adalah SUV ketiga dalam rangkaian Proton, yang akan membantu mengukuhkan kedudukan jenama itu sebagai jenama SUV paling popular di Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, SUV baharu itu juga akan menjadi model pertama yang menawarkan teknologi hibrid, menandakan kemunculan Proton dalam ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Katanya, ia adalah satu lagi langkah yang diambil oleh PROTON dalam komitmennya untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV kepada rangkaiannya sebagai permulaan terhadap EV yang pertama dikeluarkan secara tempatan.”Sebelum ini, syarikat telah menandatangani perjanjian untuk mengedarkan EV smart di Malaysia dan Thailand, dan juga telah menghantar 16 jurutera ke China untuk menjalani latihan enam bulan yang memberi tumpuan kepada semua aspek yang membabitkan kenderaan berkenaan.

“Upacara line-off hari ini menandakan permulaan aktiviti yang membawa kepada pengenalan rasmi model terbaru PROTON. Selepas permulaan pengeluaran, kami akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu kami, yang juga akan menandakan produk NEV pertama kami.

“Ini adalah langkah penting dalam perjalanan NEV kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” katanya. – BHONLINE

Loading...
Terkini