comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PROTON panggil semula X90 kerana masalah ‘insiden haba’

Sebuah kenderaan SUV Proton X90 pada Majlis Ulangtahun Proton ke-40 dan Pelancaran Proton X90 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON), hari ini mengumumkan panggilan semula model X90 susulan kecacatan pendawaian yang boleh mencetuskan “insiden haba”.

Kenyataan pengeluar kereta nasional itu memaklumkan siasatan dalaman  pada model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu mengenal pasti masalah sambungan pembumian kepada badan kereta.

”Ia boleh menyebabkan terlalu panas di kawasan penghubung apabila arus besar berterusan melaluinya dan boleh mengakibatkan kejadian haba disebabkan berdekatan dengan bahan kalis bunyi,” kata PROTON menerusi Facebook.

Punca ini dikenalpasti selepas siasatan menyeluruh dijalankan  sekumpulan pakar produk dari Proton dan Geely.

Proton berkata sebagai langkah keselamatan, semua pemilik X90 akan dihubungi secara individu oleh pengedar mereka untuk mengatur temu janji bagi kerja pembaikan.’

”Jika perlu, tindakan pemulihan akan diambil oleh pusat servis bagi menghapuskan sebarang risiko haba, ” menurut kenyataan itu lagi.

 

Orang ramai melihat model SUV ketiga keluaran Proton Holdings Bhd (PROTON) iaitu Proton X90, ketika Majlis Pelancaran Proton X90. – Foto fail NSTP

Pemilik Proton X90 juga boleh menghubungi sendiri pusat 3S atau 4S terdekat bagi membuat temujanji pemeriksaan ini, atau hubungi talian bantuan Proton menerusi nombor 1-800-88-8398 bagi mendapatkan maklumat  lanjut.

Syarikat itu juga menjelaskan bateri hibrid ringan di dalam kenderaan berkenaan bukan sebahagian daripada masalah berkenaan.

Proton X90 adalah model terkini yang dilancarkan pada Mei lalu.

 

Loading...
Terkini