comscore
Tumpuan :
Ekonomi

Dasar monetari ketat dibimbangi ‘tekan’ negara membangun

SAN FRANCISCO: Malaysia antara ekonomi membangun lain menyuarakan kebimbangan mengenai dasar monetari ketat yang berlarutan di Barat, memberi kesan negatif ke atas negara membangun.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican berkata di peringkat global masih berlaku inflasi berterusan, mencerminkan dasar berkenaan sepertimana dibangkitkan ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia dan Indonesia.

“Memandangkan negara maju yang besar terus mengekalkan dasar monetari yang ketat untuk tempoh lebih lama, ia jelas memberi kesan kepada prospek pertumbuhan negara seperti Malaysia.

“Risiko konflik yang semakin meningkat di Ukraine dan juga Timur Tengah mencetuskan risiko penurunan pertumbuhan global, inflasi dan gangguan rantaian bekalan,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihadiri beliau, di sini, hari ini.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), inflasi global diunjur berada pada 6.5 peratus pada 2023 dan 4.1 peratus pada 2024.

“Oleh itu, perbincangan juga menekankan tentang  keperluan untuk meminimumkan gangguan rantaian bekalan yang akan membantu menangani inflasi.

“Terdapat keperluan bagi platform pelbagai hala seperti APEC untuk mengekalkan aliran bebas perdagangan dan pelaburan, yang akan membantu meminimumkan risiko berkaitan dengan gangguan rantaian bekalan.

“Kami juga mengambil peluang untuk mengetengahkan beberapa keutamaan dan sasaran yang ditetapkan di bawah Ekonomi Madani, antaranya ialah meningkatkan bahagian pendapatan buruh kepada lebih 40 peratus dan meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita sehingga 60 peratus.” katanya.

Beliau berkata suatu yang menarik bahawa banyak ekonomi anggota APEC juga memberikan perhatian yang sama untuk memudahkan tenaga kerja wanita, sambil memberi contoh, tumpuan Kanada adalah untuk mengurangkan kos penjagaan kanak-kanak.

“Seperti Filipina dan Singapura, Malaysia dalam Belanjawan 2024 mengumumkan insentifnya sendiri bagi penjagaan kanak-kanak dan menggalakkan wanita kembali bekerja selepas rehat daripada kerjaya. Nampaknya ia merupakan penekanan yang sama bagi ekonomi anggota APEC,”

Loading...
Terkini