comscore
Tumpuan :
Dunia

Brunei, Indonesia, Malaysia keluar kenyataan di APEC, gesa gencatan senjata segera di Gaza

Kediaman rakyat Palestin dibedil tentera Israel di utara Gaza. – FOTO: Reuters

SAN FRANCISCO: Brunei, Indonesia dan Malaysia menggesa supaya gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan yang berkekalan dicapai di Semenanjung Gaza, dan seterusnya membawa kepada berakhirnya sengketa permusuhan di kawasan berkenaan.

Menurut ketiga-tiga negara itu, mereka menyambut baik deklarasi Golden Gate Declaration oleh pemimpin-pemimpin ekonomi APEC 2023, yang dilihat mencerminkan konsensus mengenai semua isu ekonomi yang menjadi perhatian bersama.

Bagaimanapun memandangkan pengerusi perkumpulan itu mengeluarkan satu Kenyataan Pengerusi berasingan mengenai pencerobohan di Ukraine; Brunei, Indonesia dan Malaysia memutuskan bahawa ia juga akan melakukan perkara yang sama berkaitan Gaza.

“Sehubungan itu kami bersetuju mengeluarkan kenyataan berikut untuk memberikan gambaran yang lebih baik dan adil tentang perbincangan mengenai malapetaka kemanusiaan di Gaza, semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga negara berkenaan, Jumaat.

Ketiga-tiga negara itu secara serius mengakui amat prihatin kepada penderitaan hebat yang dialami orang ramai, dan kesan buruk peperangan serta konflik di seluruh dunia.

“Kami menegaskan bahawa konflik boleh membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi global. Kami juga menegaskan bahawa konflik boleh membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi global.

Kereta perisai tentera Israel kini berada di Gaza untuk menjejaki ‘persembunyian’ pejuang Hamas. – FOTO: Reuters

“Kami menggesa supaya diwujudkan gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan yang lebih pantas, berpanjangan, serta berterusan, dan seterusnya membawa kepada berhentinya sengketa akibat permusuhan di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menekankan keperluan untuk penyediaan barangan dan perkhidmatan kepada orang awam dengan kadar segera, berterusan, mencukupi dan tanpa halangan, di seluruh Gaza.

“Kami tegaskan semula, bahawa penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai dengan cara aman, berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan, termasuk Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu A/ES-10/L.25 dan Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu 2712, dan mengikut undang-undang antarabangsa, berdasarkan penyelesaian dua Negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.” – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini