comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FBM KLCI meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 8 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih daripada lapan bulan pada Rabu apabila para pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak lagi akan meneruskan kitaran kenaikan kadar faedahnya selepas data Oktober menunjukkan inflasi negara itu telah menyusut.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.04 peratus atau 15.12 mata untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada 1,466.84 berbanding paras penutup 1,451.72 pada Selasa.

Indeks itu dibuka tinggi naik 1.89 mata kepada 1,453.61, titik terendahnya pada hari ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.94 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 3.08 billon unit bernilai RM1.77 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng memberi tahu Bernama FBM KLCI berjaya melepasi paras rintangan pada 1,465, disokong oleh belian kukuh daripada dana asing dan pelabur runcit dengan pasaran mendapat ransangan seterusnya daripada pengumuman data runcit dan perindustrian China yang lebih baik daripada jangkaan.

“FBM KLCI meneruskan trajektori meningkatnya apabila sentimen pelabur semakin bertambah baik sejajar dengan prestasi bursa serantau.

“Penggerak utama termasuk saham produk pengguna, perladangan, tenaga dan perbankan. Di peringkat serantau, indeks utama diniagakan tinggi susulan petunjuk positif daripada ekuiti global semalaman dengan peningkatan kukuh saham teknologi dan kenderaan elektrik China,” katanya.

Selain itu, pertemuan antara Presiden AS Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping berpotensi untuk mengukuhkan kembali hubungan rapuh antara kedua-dua negara, seterusnya mengurangkan risiko berkaitan dengan ketegangan geopolitik, kata Thong.

Loading...
Terkini