comscore
Tumpuan :
Tragedi

Serangan Jantung : Pemandu E-hailing Meninggal Dunia Dalam Kereta

Polis membawa mayat lelaki yang ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna di tepi jalan Kampung Tok Jembal. – FOTO : Orang Awam

KUALA NERUS : Seorang pemandu e-hailing ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna di tepi jalan Kampung Tok Jembal di sini, semalam.

Mayat, Rosmali Abdul Rahman, 44, yang disyaki mengalami serangan jantung itu ditemui isterinya di tempat duduk pemandu MPV jenis Toyota Wish kira-kira jam 7.15 malam.

Sebelum itu, wanita terbabit yang bimbang keselamatan suaminya selepas gagal menghubunginya bertindak mencari mangsa sebelum ternampak kereta lelaki terbabit.

Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumahnya di kuarters sebuah sekolah menengah di daerah ini kira-kira jam 8.45 pagi kelmarin (Ahad).

Bagaimanapun, cubaan isterinya menghubungi mangsa juga gagal sebelum wanita itu membuat laporan di Balai Polis Gong Badak semalam.

Wanita terbabit yang keluar mencari mangsa kemudian menemui kereta suaminya dan ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini