comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga besi, simen mahal ekoran kos bahan mentah meningkat

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terus menunjukkan peningkatan pada Januari 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit simen meningkat 2.6 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran yang lebih tinggi adalah penyumbang utama terhadap kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.

Katanya, indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

“Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat. Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index.

“Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan.

“Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi,” katanya dalam kenyataan siaran khas untuk kerja-kerja pembinaan bangunan dan struktur Januari 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023 menyatakan bahawa permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran penutupan di negara itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini