comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Inflasi di luar kawalan jika tidak naikkan OPR: Gabenor BNM

 

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 3.00 peratus baru-baru ini adalah untuk mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat tidak inginkan situasi di mana hanya pertumbuhan semasa diberi fokus,  namun tidak mampan dengan negara berdepan inflasi tinggi ataupun berdepan kegawatan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

“Mana lagi kejam kalau inflasi kita di luar kawalan? Kalau kadar inflasi kita naik mendadak, kuasa beli semua orang akan terjejas tanpa mengira anda mempunyai pinjaman atau tidak. Nilai RM1 akan susut nilai.Jadi, kita naikkan OPR kerana kita mahu memastikan ekonomi berkembang secara mampan dan bukan saja untuk hari ini, tapi untuk bulan dan tahun yang mendatang,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2023 hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tanggapan bahawa BNM bertindak kejam dengan menaikkan OPR ke paras 3.00 peratus baru-baru ini.

“Mandat bank pusat adalah untuk mempromosikan kestabilan harga, dasar monetari yang stabil yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.”tegasnya.

Jelasnya, “Perbelanjaan runcit dan jualan kenderaan telah melepasi paras pra pandemik dan ia juga dilihat dalam statistik dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah sebanyak 5.9 peratus selain pertumbuhan gaji rakyat”

Tambah beliau, kebanyakkan peminjam golongan berpendapatan rendah mempunyai akaun pinjaman kadar tetap yang lebih tinggi iaitu 50.3 peratus yang tidak terjejas dengan sebarang kenaikan OPR.

Pada 3 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan OPR meningkat 25 mata kepada 3.00 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Loading...
Terkini