comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PROTON buka pusat alat ganti serantau di Kuching

Pusat Alat Ganti Serantau baharu PROTON di kawasan Perindustrian Bintawa mempunyai keluasan 28,000 kaki persegi – Foto ihsan PROTON

SUBANG JAYA: PROTON membuka Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching, Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia Timur.

Kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30 peratus, sekali gus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih tinggi.

Pusat Alat Ganti Serantau baharu PROTON terletak di kawasan Perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi.

Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan yang menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan.

Selain itu, ia juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata dengan peningkatan permintaan pelanggan sejak empat tahun lalu, kemudahan gudang PROTON di Malaysia Timur sebelum ini melimpah dengan alat ganti kerana keterbatasan ruang.

Beliau berkata, Pusat Alat Ganti Serantau baharu di Kuching adalah tiga kali lebih besar daripada gudang sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

“Ruang tambahan itu juga membolehkan PROTON meningkatkan penghantaran sebanyak 50 peratus daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan.

“Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang, kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Pusat Alat Ganti Serantau oleh pengedar PROTON di Sarawak. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini