comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah dagangan Malaysia naik 15.6 peratus kepada RM238.17 bilion pada November

FOTO: Jabatan Perangkaan Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia terus mencatat prestasi yang  memberangsangkan dan mengekalkan trajektori peningkatan pada November 2022 dengan berkembang 15.6 peratus kepada RM238.17 bilion berbanding November 2021 — pertumbuhan dua digit tahun ke tahun bagi 22 bulan berturut-turut.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport naik 15.6 peratus kepada RM130.24 bilion manakala import dan lebihan dagangan meningkat 15.6 peratus masing-masing kepada RM107.93 bilion dan RM22.3 bilion.

“Pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport kukuh barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG), keluaran petroleum serta petroleum mentah.

“Selain itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun juga merekodkan pertumbuhan dua digit,” katanya.

Berbanding Oktober 2022, lebihan dagangan meningkat 23.5 peratus manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurangan sebanyak 2.8 peratus, 1 peratus dan 4.9 peratus.

Menurut MITI, tempoh Januari hingga November 2022 menyaksikan perdagangan berkembang sebanyak 29.9 peratus kepada RM2.613 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Eksport turut meningkat 27.2 peratus kepada RM1.42 trilion dan import naik 33.3 peratus kepada RM1.193 trilion manakala lebihan dagangan menokok 2.6 peratus kepada RM227.89 bilion.

“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga telah mencatat nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

Bagi November 2022, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.6 peratus daripada jumlah eksport pula berkembang 15 peratus tahun ke tahun kepada RM110.23 bilion iaitu pertumbuhan dua angka bagi bulan ke-16 berturut-turut.

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh eksport barangan E&E dan keluaran petroleum yang mana masing-masing telah mencatat kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

Dalam pada itu, eksport hasil galian (meliputi baagian sebanyak 8 peratus) melonjak 62.6 peratus tahun ke tahun kepada RM10.43 bilion — pertumbuhan dua angka ke-20 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah.

Menurut MITI, eksport keluaran pertanian (sebanyak 6.8 peratus bahagian) susut 11.1 peratus kepada RM8.87 bilion berbanding November 2021 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, kata kementerian itu.

Tempoh Januari hingga November 2022 menyaksikan hampir kesemua barangan telah merekodkan peningkatan eksport, kata kementerian itu.

Eksport barangan perkilangan berkembang 24.3 peratus kepada RM1.197 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas yang disumbangkan oleh kenaikan eksport bagi barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia selain barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Pada November 2022, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 26.6 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun kepada RM63.46 bilion.

“Eksport menokok 16.9 peratus kepada RM38.69 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan eksport bagi barangan E&E dan keluaran petroleum. Import dari ASEAN naik 4.1 peratus kepada RM24.77 bilion,” katanya.

Menurut MITI, eksport ke pasaran utama ASEAN yang mencatat pertumbuhan adalah Singapura iaitu sebanyak RM5.86 bilion, disumbangkan oleh eksport kukuh bagi barangan E&E manakala Thailand (RM1.06 bilion, keluaran petroleum).

Dalam pada itu pada November 2022, perdagangan dengan China mencatat RM43.18 bilion iaitu meningkat sebanyak 13.5 peratus manakala eksport naik 9.2 peratus kepada RM18.85 bilion dan import menokok 17.1 peratus kepada RM24.33 bilion.

Bagi tempoh sama, perdagangan dengan AS pula meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM22.82 bilion manakala import dari negara maju tersebut bertambah 23 peratus kepada RM8.23 bilion.

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) berkembang 12 peratus tahun ke tahun kepada RM18.66 bilion dengan eksport meningkat 16.3 peratus kepada RM10.5 bilion, disokong oleh eksport kukuh bagi keluaran petroleum, kelengkapan pengangkutan dan barangan E&E.

“Import dari EU pula berkembang sebanyak 6.9 peratus kepada RM8.17 bilion,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini