comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar inflasi di Malaysia turun kepada 2.4 peratus

Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kadar inflasi negara pada Jun 2023 mereda kepada 2.4 peratus, menjadikannya kadar terendah dalam enam bulan pertama 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan perlahan inflasi dalam bulan itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel (5.4 peratus); makanan & minuman bukan alkohol (4.7 peratus) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.3 peratus).

Selain itu, katanya peningkatan perlahan inflasi pada bulan dikaji turut didorong oleh kenaikan kecil bagi kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.6 peratus); kesihatan (2.0 peratus) dan pendidikan (1.9 peratus).

“Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi & kebudayaan pula masing-masing meningkat 1.8 peratus dan 1.6 peratus.

“Ini dikuti oleh minuman alkohol & tembakau (0.6 peratus) dan pakaian & kasut (0.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun 2023.

Mohd Uzir berkata, inflasi pengangkutan bagi Jun 2023, kekal tidak berubah berbanding Jun 2022.Katanya, subkumpulan perkhidmatan pengangkutan dan pembelian kenderaan masing-masing meningkat sebanyak 5.2 peratus dan 1.9 peratus.

“Namun begitu, penurunan inflasi subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian sebanyak negatif 0.6 peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi kumpulan ini daripada meningkat.

“Penurunan subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan bahan api & pelincir untuk pengangkutan persendirian kepada negatif 3.8 peratus berbanding negatif 2.4 peratus pada Mei 2023.

“Selain itu, penurunan harga minyak petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 29.4 peratus pada bulan Jun 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Jun 2022 (RM4.77 seliter) turut menyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi inflasi di peringkat negeri pula, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4 peratus dengan Labuan merekodkan  peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus pada Jun 2023.

Loading...
Terkini