comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kilang kenderaan elektrik, cekap tenaga pertama Malaysia di Melaka

ALOR GAJAH: Melaka memulakan langkah penerokaan industri automotif baharu menerusi pembukaan kilang pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan eletrik (EV) pertama di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kilang yang dibangunkan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Taman Perindustrian HICOM, Pegoh, di sini, membabitkan nilai pelaburan RM100 juta.

“Ia menjadi pelopor kepada pembangunan kenderaan elektrik negara, sekali gus bakal merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berbangga kerana syarikat pengeluar kenderaan itu bukan sahaja berjaya memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), malah memilih Melaka untuk membangunkan fasiliti pertama di negara ini.

Katanya, kejayaan itu secara tidak langsung menjadi petunjuk cukup bermakna kepada kerajaan negeri yang amat komited untuk membangunkan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi seperti projek automotif baharu itu.

“Hal ini sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri di bawah pentadbiran saya yang sentiasa terbuka dalam menarik kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke negeri ini melalui dasar mesra pelabur dan mesra perniagaan.

“Menerusi kesediaan dan komitmen syarikat EPMB untuk melaksanakan pembangunan fasiliti automotif baharu ini, khususnya bagi kenderaan EEV, EV serta kenderaan komersial elektrik, sudah tentu akan membuka lembaran baharu.

“Ia seterusnya membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pembangunan kilang berkenaan, hari ini.

Ab Rauf berkata, kilang di kawasan seluas 17 hektar itu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan, bakal menjadi pusat untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan empat roda EEV, EV serta kenderaan komersial elektrik.

Katanya, apabila siap kelak, ia akan menghasilkan sekurang-kurangnya 30,000 unit kenderaan eletrik setahun selain menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Loading...
Terkini