comscore
Tumpuan :
Nasional

MICT bakal ubah landskap pelancongan Melaka

AYER KEROH: Industri pelancongan Melaka dijangka menerima impak positif menerusi Projek Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) dengan sasaran pertambahan 15.8 juta pelancong menjelang tahun 2036.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh optimis MICT yang merupakan sebahagian projek di Pulau PME1 Projek Melaka Gateway akan memacu ekonomi negeri itu serta negara secara keseluruhannya.

“Projek terminal ini juga akan mengubah industri pelancongan Melaka daripada ekonomi hujung minggu kepada ekonomi 365 hari.

Sebaik sahaja projek terminal yang bernilai RM682 juta ini siap sepenuhnya, ia akan menjadi sebuah jeti pesiar terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

MICT mampu menampung dua unit Kapal Kelas Oasis di Dermaga Luar dan satu unit Kelas Kuantum serta satu unit kapal pesiaran Voyage of the Sea di Dermaga Dalaman secara serentak.

“Saya yakin, kejayaan Projek Melaka Gateway ini akan mewujudkan antara 45,000 hingga 60,000 peluang pekerjaan sekali gus akan mengubah Melaka menjadi sebuah ekonomi berdaya saing yang menawarkan jumlah pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Terdahulu berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemaju induk Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) yang diwakili Pengerusi Eksekutif Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman bersama Global Ports Holding PLC (GPH) yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Stephen Xuereb mengenai pengurusan dan operasi MICT, di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini