comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lesen MYAirline digantung untuk sementara waktu – Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata lesen MYAirline Sdn Bhd akan digantung untuk sementara waktu.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengumumkan perkara itu nanti pada hari ini.

“Saya difahamkan syarikat ini masih wujud, mereka kata diberhentikan operasi sementara mahu mencari pelabur (baharu). Itu isu komersial mereka. Tetapi di pihak berkuasa kita akan menggantung lesen mereka sementara waktu,” katanya

Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau difahamkan MYAirline akan mengadakan sidang media hari ini jadi pihak pengurusan perlu tampil untuk memberikan penjelasan kepada pelanggan dan juga kepada kakitangan mereka.

Beliau berkata, Pihak CAAM juga akan mengeluarkan kenyataan pada hari ini, jadi ada beberapa perkara akan berlaku hari ini.

“Satu usul juga akan dibahaskan di kamar khas di Parlimen pada petang ini dan timbalan saya akan menjawab soalan itu kerana saya perlu ke luar negara petang ini.

“Jadi, Timbalan Menteri akan jawab di kamar khas Parlimen. Kita akan menjawab segala isu yang timbul dan apa sahaja, yang paling penting sekarang ini kita mahu pastikan hak pengguna terpelihara dan mesti dipertahankan.

“Mereka ada hak untuk mendapat pembayaran balik tiket penerbangan, itu sesuatu yang amat-amat penting yang kita pastikan. Yang keduanya juga kebajikan pekerja MYAirline seramai kira-kira 900 orang itu mesti juga dijaga.

“Jadi, pihak syarikat diingatkan bahawa mereka ada tanggungjawab dalam kedua-dua aspek ini iaitu aspek pelanggan dan juga aspek pekerja, ini mesti dijaga terlebih dahulu,” katanya.

Seramai 125,000 penumpang terjejas selepas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengantung operasi pada 12 Oktober lalu.

Ia turut mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang, berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit.

Loading...
Terkini