comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Maybank Menurunkan Sasaran ROE Kepada 11-12% Dalam M25+

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Maybank telah menurunkan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) kepada antara 11 dan 12 peratus dalam strategi korporat M25+.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata,  ini berbanding sasaran 13 hingga 15 peratus sebelum ini susulan ketidaktentuan keadaan ekonomi global.

“Sasaran baharu ini dilihat lebih realistik, ditambah juga dengan pelan pelaburan syarikat,” katanya pada pelancaran strategi M25+ di sini hari ini.

Maybank juga akan melabur antara RM3.5 bilion sehingga RM4.5 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk melaksanakan 12 Program Strategik M25+.

Ini dapat membina keupayaan teknologi dan tenaga kerja baharu yang akan menyokong pertumbuhan kumpulan menjelang 2025.

“Sekitar 77 peratus daripada jumlah pelaburan adalah untuk teknologi, meliputi dua bidang utama iaitu teknologi-untuk-teknologi yang merangkumi integrasi infrastruktur perbankan kami seperti platform data, penyepaduan saluran, rasionalisasi IT, keselamatan siber dan lapisan API serta teknologi-untuk-perniagaan bagi menyokong penyampaian hasil strategik,” katanya.

Strategi yang telah ditambah baik itu akan mengukuhkan lima teras strategik utama berpandukan pelan M25 sebelum ini untuk pertumbuhan jangka panjang.

Ini termasuk mempergiatkan keutamaan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan kehadiran dan kedudukan perniagaan Maybank di luar Malaysia, memacu kedudukan kepimpinan dalam agenda kemampanan dan menjadi peneraju global dalam Perbankan Islam.

Loading...
Terkini