comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Media Prima catat untung 18 bulan RM67.3 juta

Oleh: Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia merekodkan hasil sebanyak RM1.4 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM67.3 juta bagi tempoh 18 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2023, ketika persekitaran perniagaan yang mencabar dan keadaan pasaran pengiklanan yang kurang menggalakkan.

Hasil dan PAT Media Prima bagi suku berakhir pada 30 Jun 2023 pula adalah sebanyak RM223 juta dan RM8.1 juta.

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid,Pengerusi Kumpulan Media Prima

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata walaupun prestasi kumpulan terkesan susulan cabaran industri dan ekonomi, termasuk pasaran pengiklanan yang kurang menggalakkan, kumpulan berbangga dengan usaha serta keupayaannya untuk mempertahankan dominasi di seluruh perniagaannya.

“Kumpulan yakin akan kekuatan jenama, jangkauan meluas, serta kandungan inovatif kami akan terus memenuhi kehendak audiens dan pelanggan di samping memberikan nilai kepada pemegang saham kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa Lembaga Pengarah Media Prima mengisytiharkan dividen satu peringkat sebanyak 1.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tempoh 18 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2023.

Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, tempoh 18 bulan ini adalah satu jangka masa yang mencabar bagi industri media.

“Namun begitu, kami berpuas hati dengan keupayaan serta daya saing kumpulan yang mampu mencatatkan keuntungan suku tahunan berturut-turut sejak suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2020.

“Media Prima juga berjaya mengawal kos operasi secara optimum dan melihat pertumbuhan secara berperingkat bagi pendapatan pengiklanan di seluruh perniagaan kami.

“Kami komited untuk terus melaksanakan pelan perniagaan tiga tahun bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan mewujudkan peluang baharu bagi kumpulan,” katanya.

Dalam tempoh yang dikaji, Media Prima meningkatkan kedudukan pasaran di pelbagai platform media kumpulan.

Pertumbuhan bagi sektor pengiklanan luar rumah membantu meningkatkan prestasi Big Tree yang mencatatkan hasil sebanyak RM177.5 juta bagi tempoh 18 bulan.Ini adalah satu peningkatan yang ketara bagi Big Tree yang terkesan akibat kesan pandemik COVID-19 terhadap industri pengiklanan luar rumah.

The New Straits Times Press (NSTP) mencatat pendapatan pengiklanan yang membanggakan dalam tempoh ini, mencatatkan hasil sebanyak RM180.3 juta.

Penekanan strategi pengutamaan digital NSTP juga membolehkan Berita Harian, Harian Metro, dan New Straits Times menarik lebih daripada 3.8 juta, 3.6 juta, dan 2.5 juta pelawat unik purata bulanan menurut data Comscore sehingga Jun 2023.

Kumpulan juga mencatatkan hasil jualan kandungan sebanyak RM74.7 juta dalam tempoh 18 bulan, dipacu oleh strategi pengedaran kandungan Media Prima melalui platform-platform penstriman popular.

Kandungan popular kumpulan kini boleh diakses oleh penonton global melalui saluran Disney+ Hotstar, VIU, iQiyi, dan Netflix, dan antara kandungan yang mempunyai tontonan tertinggi di platform berkenaan.

Dalam segmen penyiaran pula, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio merekodkan capaian yang lebih baik.

Penonton TV3 meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 27.9 peratus berbanding suku sebelumnya, sementara Hot FM muncul sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia dengan catatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 3.8 juta.

REV terus kekal sebagai penerbit digital utama di Malaysia, mewakili lebih daripada 35 jenama berpengaruh pelbagai bahasa dan platform termasuk berita, hiburan, gaya hidup, teknologi dan lain-lain.

Loading...
Terkini