comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi perdagangan ke Turkiye jana RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR: Misi perdagangan ke Turkiye membabitkan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.

Misi ke Istanbul dan Sakarya, yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MIICCI).

Sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan yang membabitkan 72 syarikat Turkiye dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan & minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak & gas dan sistem solar.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata, misi ini adalah sebahagian daripada usaha SME Corp untuk meningkatkan keupayaan pra-eksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global.

Malaysia dan Turkiye menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (MTFTA), yang dimeterai pada 1 Ogos 2015.

Sehingga Disember 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkiye adalah 34 peratus, menunjukkan masih banyak ruang untuk sektor perniagaan memanfaatkan MTFTA.

Pada tahun 2022, Malaysia adalah rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN manakala Turkiye rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah eksport Malaysia ke Turkiye berjumlah RM17.39 bilion pada 2022.

Loading...
Terkini