comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai ringgit diunjur meningkat secara berperingkat pada separuh kedua 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur mendapat manfaat daripada kadar inflasi yang semakin mereda di Amerika Syarikat (AS) serta dijangka meningkat secara berperingkat pada separuh kedua 2023, kata MIDF Research.

Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran akhir tahun bagi ringgit mencecah RM4.20 setiap dolar AS.

Inflasi pengguna AS turun kepada 3.0 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023, paras terendah sejak Mac 2021, dan agak rendah berbanding 3.1 peratus yang dijangkakan.

“Inflasi yang semakin berkurangan, antara lain disebabkan oleh kesan asas tinggi, pasaran buruh yang lebih lemah dan kesan negatif dasar ketat oleh Rizab Persekutuan (Fed),” kata MIDF Research dalam nota hari ini.

Bagaimanapun, ia menambah memandangkan inflasi teras yang masih tinggi, penambahan 25 mata asas (bps) lagi pada Julai 2023 berkemungkinan berlaku sebelum Rizab Persekutuan mempertimbangkan untuk menangguhkan seketika.

Pada sesi pembukaan dagangan pagi ini, ringgit meningkat 310 peratusan mata (pip) kepada 4.6190/6230 berbanding dolar AS daripada 4.6500/6535 semalam (Rabu), didorong terutamanya oleh data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bulan Jun 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan. — BERNAMA

Loading...
Terkini