comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai ringgit terus meningkat ketika memulakan dagangan

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus meningkat dan dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar AS selepas hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) susut berikutan komen daripada pegawai Rizab Persekutuan AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan menambah nilai untuk mencapai paras 4.7195/7240 berbanding dolar AS daripada penutup Selasa 4.7255/7310.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS jatuh 12 mata asas selepas presiden Fed Bank Atlanta Raphael Bostic berkata bank pusat tidak perlu menaikkan lagi kadar faedah penanda aras, dan beliau menjangka tiada kemelesetan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, indeks dolar AS (DXY) merosot daripada 106.22 mata kepada 105.76 mata, katanya.

“Justeru, terdapat peluang ringgit akan meningkat berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, konflik Israel-Palestin akan dipantau dengan teliti kerana pemain pasaran bimbang tentang skala konflik berkenaan, katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro, menyaksikan mata wang tempatan mengukuh kepada 5.0083/0131 daripada 5.0095/0153 pada penutupan Selasa. – BERNAMA

Loading...
Terkini