comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR dijangka kekal susulan kadar inflasi mereda

Foto hiasan

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Pakar Ekonomi berpandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil kira kadar inflasi yang semakin mereda dalam menentukan kadar dasar semalaman (OPR).

Pengarah Program MBA Putra Business School, Profesor Ahmed Razman Abdul Latiff berkata OPR juga dijangka akan kekal, terutamanya apabila inflasi bagi segmen tertentu mula mencatat penurunan.

“Tujuan penetapan kadar OPR itu adalah untuk memastikan inflasi kekal rendah dan dengan statistik yang terkini 2.8 peratus pada bulan Mei kemungkinan OPR akan dikekalkan,” katanya kepada Buletin TV3.

Ujar beliau, keadaan terkini inflasi juga adalah sesuatu perkembangan positif dan baik, mencerminkan kos sara hidup di Malaysia terkawal.

Bagaimanpun, beliau yakin Bank Negara akan memantau perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kadar OPR.

Ketika ini, kadar OPR pada 3 peratus.

Mesyua­rat Jawatankuasa Monetari selepas ini dijadual bulan depan, untuk menentukan sama ada OPR akan dikekalkan, dinaikkan atau sebaliknya.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan memaklumkan inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023, lebih perlahan berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada April 2023.

Peningkatan perlahan bagi beberapa kumpulan seperti makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 5.9 peratus; pengangkutan sebanyak satu peratus dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah sebanyak 2.7 peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.

Loading...
Terkini