comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga besi meningkat pada November – DOSM

KUALA LUMPUR: Indeks harga seunit besi meningkat di antara 0.1 peratus hingga 2.0 peratus bagi kebanyakan kawasan pada November 2023 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan indeks harga besi adalah seiring dengan perubahan harga bijih besi dan besi yang berlaku di peringkat global.

 

Beliau berkata indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam pula kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.2 peratus), Terengganu dan Kelantan (-0.3 peratus) dan Kota Kinabalu (-0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Kos Bahan Binaan November 2023 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan di antara 0.2 peratus hingga 4.2 peratus bagi November 2023 berbanding bulan yang sama tahun lepas namun begitu, terdapat penurunan indeks harga seunit besi dicatatkan di Miri (-6.1 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-4.4 peratus) serta Tawau (-3.1 peratus).

Mohd Uzir berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bar adalah RM3,621.02 satu tan, dengan peningkatan kecil iaitu 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: RM3,590.40 satu tan).

Purata harga simen Ordinary Portland pula kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dengan purata harga RM22.94 per 50 kilogram sekarung, katanya.

Beliau berkata perbandingan bulanan pada November 2023 turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Loading...
Terkini