comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing catat jualan bersih ekuiti Malaysia RM27.7 juta minggu lepas  

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing merupakan penjual bersih saham tempatan di Bursa Malaysia minggu lepas dengan merekodkan sebanyak RM27.7 juta dan ini turut menandakan aliran keluar bersih yang lebih perlahan berbanding RM113.5 juta minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Jualan bersih oleh pelabur asing pada Isnin minggu lepas ialah RM107.4 juta dan RM58.3 juta pada Selasa sebelum mencatatkan belian bersih RM95.5 juta (Rabu), RM11.8 juta (Khamis) dan RM30.8 juta pada Jumaat.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah utiliti (RM211.6 juta), hartanah (RM40.4 juta) dan tenaga (RM32.9 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 8 Sept 2023.

Tiga sektor paling bawah dengan aliran keluar asing bersih bagi minggu berkenaan ialah produk dan perkhidmatan kewangan (-RM226.0 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM33.5 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (-RM30.2 juta).

Setakat tahun ini, jualan bersih pelabur asing berjumlah RM2.70 bilion, kata firma penyelidikan itu.

Sebaliknya, institusi tempatan  mengekalkan kadar belian bersih mereka untuk minggu keempat berturut-turut dengan sejumlah RM60.6 juta direkodkan minggu lepas.

“Jumlah belian bersih RM92.3 juta pada Isnin dan RM87.7 juta pada Selasa sudah memadai untuk menampung aliran keluar pada hari Rabu (RM79.6 juta), Khamis (RM11.1 juta) dan Jumaat (RM28.8 juta).

“Setakat tahun ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM3.29 bilion ekuiti,” kata MIDF Research.

Selain itu, ia menambah pelabur runcit tempatan terus menjual bersih yang kini memasuki minggu kesembilan berturut-turut. Jumlah jualan bersih ialah sebanyak  RM33.0 juta minggu lepas.

“Belian bersih pelabur tempatan pada Isnin berjumlah RM15.1 juta dan baki hari urus niaga sehingga Jumaat, mereka adalah penjual bersih. Setakat tahun ini, peruncit tempatan telah menjual bersih RM583.6 juta,” kata MIDF.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur asing (-51.1 peratus), pelabur institusi (-28.4 peratus) dan pelabur runcit (-26.6 peratus), tambah MIDF.

Loading...
Terkini