comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kembali beli bon Malaysia pada November, RM5.4 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjadi pembeli bersih bon dan sekuriti hutang Malaysia pada November 2023 sebanyak RM5.4 bilion, buat pertama kali dalam tempoh empat bulan, kata Kenanga Research.

Ia berkata, selera risiko yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur untuk aset pasaran baharu muncul, didorong oleh prestasi rendah dalam penunjuk makroekonomi Amerika Syarikat (AS) dan isyarat kurang agresif Rizab Persekutuan AS (Fed), telah menyebabkan peningkatan permintaan untuk bon Malaysia.

Selain itu, katanya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, bersama-sama dengan perbezaan hasil bon 10 tahun Malaysia-AS yang lebih sempit telah meningkatkan minat asing.

“Pelabur mungkin terus meningkatkan pendedahan portfolio mereka kepada hutang Malaysia dalam jangka terdekat hingga sederhana untuk memanfaatkan pulangan bawaan dan potensi peningkatan modal.

“Strategi itu amat menarik memandangkan tinjauan kukuh terhadap ringgit dan jangkaan BNM mungkin mengekalkan OPR tidak berubah untuk 12 hingga 15 bulan akan datang,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga Research berkata, aliran masuk pada November itu didorong oleh kemasukan pelaburan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB).

Ia berkata, MGS sebanyak RM3.3 bilion, kembali kepada aliran masuk berikutan kejatuhan mendadak dalam hasil bon AS, meningkatkan bahagian pegangan asing ke paras tertinggi dua bulan sebanyak 35.0 peratus.

Katanya, GII berjumlah RM2.2 bilion adalah aliran masuk tertinggi dalam tempoh lima bulan dengan bahagian pegangan asing meningkat kepada 10.0 peratus.

“MTB sebanyak RM600 juta berikutan permintaan berterusan oleh pelabur asing, dengan bahagian pegangan asing melonjak kepada 34.4 peratus,” katanya.

Kenanga Research berkata, pelabur asing beralih daripada menjadi penjual bersih pada Oktober kepada menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia pada November, dengan jumlah RM1.6 bilion, angka terbesarnya dalam 15 bulan.

Loading...
Terkini