comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing kekal pembeli bersih bagi minggu kelima berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing mengekalkan kedudukan mereka sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut, dengan nilai aliran masuk berjumlah RM246.3 juta, menurut penyelidikan oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menjelaskan prestasi itu menunjukkan pengurangan sebanyak 35.7 peratus daripada minggu sebelumnya yang mencatatkan RM382.8 juta.

“Pelabur asing secara amnya menjual bersih RM70.0 juta pada Isnin namun menjadi pembeli bersih semasa tempoh baki minggu lepas. Mereka membeli bersih RM114.3 juta pada Selasa, RM59.8 juta pada Rabu, RM30.6 juta pada Khamis dan RM111.5 juta pada Jumaat,” tambahnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Penyelidikan oleh MIDF juga memaklumkan bahawa tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM150.6 juta), utiliti (RM132.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM64.6 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM112.1 juta), pengangkutan dan logistik (-RM48.9 juta) serta tenaga (-RM20.6 juta).

Berbanding pelabur asing, institusi tempatan terus mencatat jualan bersih pada minggu kelima berturut-turut, dengan menjual ekuiti bernilai RM457.2 juta.

Institusi tempatan membeli bersih RM7.5 juta pada Isnin namun menjual bersih RM152.7 juta pada Selasa, RM123.2 juta pada Rabu, RM45.2 juta pada Khamis, dan RM143.7 juta pada Jumaat.

Selepas tujuh minggu melakukan penjualan bersih, peruncit tempatan membeli bersih RM210.9 juta di Bursa Malaysia minggu lepas, belian bersih setiap hari dalam minggu itu yang terakhir dilihat pada awal Januari 2023.

“Mereka membeli bersih RM62.5 juta pada Isnin, RM38.4 juta pada Selasa, RM63.3 juta pada Rabu, RM14.6 juta pada Khamis dan RM32.2 juta pada Jumaat,” jelas penyeldikan MIDF.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam jumlah dagangan harian purata di seluruh papan dalam kalangan peruncit tempatan (+4.5 peratus), institusi tempatan (+7.7 peratus) dan pelabur asing (+110.2 peratus).

— BERNAMA

Loading...
Terkini