comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran hutang Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Momentum pasaran hutang domestik dijangka lebih baik dengan kemasukan pelabur asing dalam tempoh terdekat dan sederhana di tengah-tengah kemungkinan kembalinya selera risiko pelabur, demikian menurut penganalisis.

Kenanga Research dalam satu nota penyelidikan berkata, walaupun cabaran berterusan dihadapi aset yang dipengaruhi turun naik pasaran, pihaknya menjangkakan kemasukan modal asing dalam jangka terdekat hingga sederhana susulan kemungkinan putaran dalam peruntukan aset.

Ia berkata, pihaknya mengandaikan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) telah memuncak, justeru pelabur bon mungkin secara beransur-ansur beralih dari pasaran AS dan membina semula kedudukan mereka dalam pasaran baharu muncul.

“Ini terutamanya, pegangan asing dalam pasaran hutang Malaysia cenderung meningkat enam hingga 12 bulan selepas berakhirnya kitaran pengetatan Fed,” katanya.

Kenanga Research berkata, ia menjangkakan pelabur berpotensi meningkatkan pembelian aset Malaysia dalam mengejar pulangan dan peningkatan modal dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan pendirian dasar semasanya sehingga sekurang-kurangnya akhir 2024, di samping usaha kerajaan untuk mencapai pengukuhan fiskal dan asas kukuh ekonomi domestik.

Ia berkata, pelabur asing meneruskan penjualan dalam sekuriti hutang Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut pada Oktober sebanyak RM2.6 bilion, dipacu oleh penjualan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Akibatnya, jumlah pegangan hutang asing susut kepada RM267.2 bilion pada Oktober, dengan sumbangannya kepada jumlah hutang terkumpul jatuh ke paras terendah empat bulan sebanyak 13.5 peratus berbanding 13.7 peratus pada September,” katanya.

Kenanga Research berkata, permintaan yang semakin meningkat untuk aset selamat di tengah-tengah risiko geopolitik yang semakin meningkat dan kebimbangan mengenai Fed yang agresif telah mengekalkan kesan pencegahannya terhadap bon pasaran pesat membangun berkualiti tinggi.

Selain itu, pelebaran negatif berterusan perbezaan hasil bon kerajaan 10 tahun Malaysia dan AS telah memburukkan lagi penurunan dalam minat asing.

Sementara itu, jualan bersih ekuiti Malaysia oleh pelabur asing dalam tempoh 18 hari daripada 22 hari dagangan pada Oktober memperlihatkan jumlah aliran keluar sebanyak RM2.2 bilion, tertinggi sejak Julai 2020.

Pasaran saham menyaksikan aliran masuk kecil daripada sektor utiliti dan hartanah, yang sebahagiannya mengurangkan aliran keluar yang besar daripada sektor perkhidmatan kewangan dan produk pengguna.

Ia sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan penghindaran risiko akibat konflik Asia Barat yang semakin memuncak, dan ketidaktentuan yang menyelubungi hala tuju dasar monetari Fed, berdasarkan data ekonomi yang bercampur-campur.

Loading...
Terkini