comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PROTON rekod prestasi jualan terbaik sejak 2013

Foto ihsan PROTON

SUBANG JAYA: Jenama automotif nasional, PROTON mencatatkan jualan 126,682 unit dari Januari hingga November tahun ini, pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun lalu dengan hanya satu bulan lagi menjelang penamat 2022.

Prestasi itu membolehkan PROTON mencapai jumlah jualan terbaik sejak 2013 dan syarikat berada di landasan untuk mencatatkan prestasi jualan terbaik dalam tempoh sembilan tahun.

Bagaimanapun, jualan PROTON pada November hanya berjumlah 11,316 unit apabila syarikat bergelut dengan isu bekalan sementara yang membawa kepada penurunan sebanyak 13.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pegangan pasaran bagi November dianggarkan sebanyak 17.7 peratus dan untuk tahun ini, PROTON mengekalkan pegangannya di kedudukan kedua dengan 19.7 peratus daripada jumlah jualan kenderaan.

Secara individu, lima model PROTON mengatasi jumlah jualan berbanding tahun lalu dengan dua model, iaitu Proton X50 dan Proton Exora, menerajui segmen masing-masing sepanjang tahun.

Jualan eksport juga meningkat lebih 2,000 unit berbanding tahun sebelumnya kerana jualan setakat tahun ini kini berjumlah 5,028 unit berbanding 3,018 bagi keseluruhan tahun sebelumnya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini