comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SIRIM tubuh syarikat pensijilan di China

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: SIRIM Bhd kini melebarkan sayapnya ke China menerusi penubuhan Hunan SIRIM Huasheng Certification and Inspection Co Ltd, syarikat usaha sama yang menawarkan perkhidmatan pensijilan.

Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, berkata syarikat di wilayah Hunan itu akan memulakan operasi pada Januari depan dengan menyediakan perkhidmatan pensijilan, khususnya standard IATF 16949, aktiviti pemeriksaan serta latihan.

“Menerusi syarikat usaha sama ini, SIRIM QAS International kini bertapak di China, terutama dalam sektor pembuatan automotif negara itu yang juga sektor terbesar dunia dengan menyumbang pengeluaran sebanyak 21 juta kereta penumpang pada 2021 selain memiliki lebih separuh daripada lokasi diperakui IATF di dunia,” katanya pada Majlis SIRIM Industri (MSI) 2022 di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil.

Standard IATF 16949 merujuk standard antarabangsa untuk sistem pengurusan kualiti automotif yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas Automotif Antarabangsa (IATF), SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM dan satu-satunya badan pensijilan di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh IAFT.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata nilai pelaburan syarikat usaha sama di China itu adalah kira-kira RM1 juta yang disasarkan dapat menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit pada tahun-tahun mendatang susulan perkembangan pesat industri berkenaan.

“Pensijilan di bawah kerjasama ini adalah bagi memastikan produk-produk yang mempunyai sijil berkaitan ke pasaran antarabangssa dan tidak hanya terhad di Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, memandangkan China sedang melaksanakan sekatan pergerakan pada masa ini, kerja-kerja berkaitan pensijilan terbabit akan dijalankan secara jarak jauh dan akan diperluaskan selepas sekatan dilonggarkan yang dijangkakan selepas sambutan Tahun Baru Cina, tahun depan.

Mengulas MSI 2022, Ahmad Sabirin berkata acara bertemakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) itu merupakan program tahunan bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara SIRIM, industri dan agensi kerajaan serta membantu kerajaan menjadikan ESG sebagai agenda utama.

“Kami juga bekerjasama dengan MITI untuk menghasilkan pensijilan baharu yang menggabungkan ketiga-tiga elemen ESG sebagai satu pensijilan.

Malaysia mahu menerajui (usaha ini) untuk memulakan perjalanan berkaitan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Tajuddin berkata biarpun terdapat pihak yang mungkin tidak berminat menggunapakai ESG akibat faktor salah tanggapan dan kos tinggi, organisasi sebaliknya perlu menyedari bahawa usaha bagi menjamin masa depan bukan sesuatu yang boleh diukur dengan wang.”Saya berharap organisasi di Malaysia akan berurusan dengan SIRIM dan anak syarikat kami serta mengikuti pelbagai program serta pensijilan sebagai bukti mereka celik ESG,” katanya. -BERNAMA

Loading...
Terkini